SENI SILAT MELAYU
Seni
silat Melayu ialah sejenis ilmu mempertahankan diri bangsa Melayu yang
diamalkan sejak dahulu kala. Penemuan tinggalan sejarah di Candi
Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa membuktikan seni silat mula wujud
di Kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Seni silat ini bermula di
Kepulauan Riau dan kemudiannya berkembang ke Minangkabau, Sumatera. Di
Sumatera, seni ini dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah
digunakan oleh Kerajaan Srivijaya, iaitu pada abad ke-7 hingga abad
ke-14 bagi tujuan meluaskan empayarnya. Mereka yang mempelajari ilmu
silat dipanggil pesilat.
Seni
ini dikatakan mencapai kemuncaknya apabila terdapatnya penggunaan
senjata. Antara senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat
ialah keris, badik, kerambit, parang, pedang, parang lading, tumbuk
lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak
menggunakan senjata, pengajaran akan bertumpu kepada pertempuran tangan
kosong.
Dari
Minangkabau, ilmu silat berkembang ke Melaka. Pada zaman kesultanan
Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan golongan istana sahaja
yang diberi keistimewaan untuk mempelajari silat. Seni silat ini
berkembang pula melalui rakyat jelata dan
seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Sebagai contohnya, Laksamana
Hang Tuah dikatakan mempelajari ilmu silat daripada Sang Adi Putera di
Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa, Majapahit.
Pada
zaman dahulu, hampir semua orang mengamalkan silat tetapi hanya yang
benar-benar hebat yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang
mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi sahaja yang mampu mencapai
tahap tersebut.
ASPEK DAN BENTUK SILAT
Aspek
ataupun bentuk silat dapat dilihat dalam empat aspek utama. Pertama
ialah aspek spiritual, iaitu berkenaan keperibadian seseorang pesilat.
Silat dikatakan dapat membangunkan dan mengembangkan keperibadian dan
karakter mulia seseorang pesilat. Para pendekar dan guru silat pada
zaman dahulu hendaklah mencapai tahap semadi, tapa atau aspek kebatinan
untuk mencapai tingkat tertinggi dalam keilmuannya.
Selain
itu, terdapat juga aspek seni budaya. Budaya ini merangkumi bentuk seni
tarian silat, muzik dan pakaian tradisional. Muzik merupakan satu
misteri dalam silat. Biasanya, seni silat akan menggunakan serunai dan
gendang. Alat muzik ini boleh menyebabkan seseorang pesilat ‘naik serbu’
apabila ia dimainkan. Kemahuan dalaman akan memaksa mereka untuk
membuka sembah bagi memulakan pencaknya. Pakaian tradisional silat pula
amat penting di dalam gelanggang kerana ia melambangkan identiti
pesilat. Setiap pakaian mempunyai tali pinggang atau dipanggil bengkung
pinggang. Bengkung ini terdiri daripada pelbagai warna seperti merah,
hitam, kuning, putih, hijau dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk
menunjukkan tahap ilmu yang dicapai oleh seseorang pesilat.
Seterusnya
ialah aspek bela diri. Silat dipelajari untuk mempertahankan diri,
bukan untuk menyerang atau menakut-nakutkan orang tertentu. Dalam hal
ini, kepercayaan dan ketekunan diri sangat penting dalam menguasai ilmu
bela diri.
Aspek
yang terakhir ialah aspek olahraga, iaitu aspek fizikal. Pesilat akan
menyesuaikan pemikiran dengan olah tubuh. Aspek ini meliputi
pertandingan dan demonstrasi bentuk-bentuk jurus. Aspek olahraga inilah
yang membuatkan silat terkenal di Eropah.
TINGKAT KEMAHIRAN
Tingkat pertama dipanggil tingkat pemula. Pada tahap ini, pesilat akan diajar
perkara asas seperti teknik kuda-kuda, tendangan, pukulan, tangkisan,
elakan, tangkapan, bantingan, olah tubuh dan jurus dasar.
Tingkat kedua pula ialah tingkat menengah. Pada tahap ini, pesilat lebih difokuskan kepada aplikasi semua
gerakan dasar, pemahaman, dan variasi. Di sini juga minat dan bakat
pesilat mula terlihat. Seterusnya, pesilat ini akan disalurkan kepada
cabang masing-masing iaitu cabang olahraga dan seni budaya.
Tahap yang ketiga dikenali sebagai tahap pelatih. Berdasarkan pengalaman di tahap pemula dan menengah, mereka
kemudiannya akan diberikan teknik-teknik bela diri perguruan. Teknik
ini hanya diberikan kepada orang yang boelh dipercayai dan menggunakan
ilmu ini dengan baik. Hal ini demikian kerana, teknik bela diri ini
biasanya melibatkan teknik tempur yang sangat efektif untuk melemahkan
lawan.
Tahap
yang tertinggi dikenali sebagai pendekar. Pendekar merupakan pesilat
yang sudah mahir dan mempunyai ilmu persilatan uang tinggi. Mereka juga
bakal mewarisi ilmu-ilmu rahsia tingkat tertinggi.
JENIS-JENIS SILAT
Asas
seni silat dapat dibahagikan kepada dua iaitu ‘bunga’ dan ‘buah’. Seni
bunga ialah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk
mengelirukan lawan. Manakala buah pula ialah gerak balas yang keras,
padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Pada zaman ini, wujud
beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan
caranya yang tersendiri.
Silat Gayong
Antara
jenis silat yang popular ialah Silat Gayong. Seni Silat Gayong dibawa
ke Tanah Melayu oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi
bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Seni
Silat Gayong diajar berdasarkan nama silat itu sendiri iaitu Silat
Gayong. Secara amnya, seseorang pesilat akan diajar pergerakan tangan dan kaki secara sistematik. Peringkat ini dikenali sebagai pelajaran bersilat. Peringkat
kedua pula ialah peringkat seni. Peringkat seni ialah peringkat
pengenalan kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan membuat
serangan balas ke atas sasaran.
Latihan
seni silat Gayong biasanya dilakukan di tempat yang tidak berbumbung
dan hanya dipagari oleh dinding yang tinggi. Hal ini bertujuan untuk
menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki gelanggang. Latihan
Seni Silat Gayong dimulakan dengan upacara membuka gelanggang iaitu
dengan membaca ayay-ayat suci al-Qur’an dan diikuti dengan memanjatkan
kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T meminta agar dijauhkan segala mara
bahaya semasa latihan sedang dijalankan. Selepas
melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan asas, pesilat
akan berpasangan untuk mengelakkan serangan mengejut daripada pihak
lawan yang mungkin terus bertindak agresif. Biasanya
terdapat beberapa orang pembantu jurulatih yang hadir untuk mengawal
pasangan yang bergelut dan membetulkan mana-mana gerakan yang silap.
Ahli-ahli
baru akan diberi latihan untuk menguatkan fizikal. Latihan ini
dilakukan selama sebulan bagi melonggarkan otot-otot dan tendon.
Kemudian, mereka berlatih untuk memperbaiki teknik menumbuk dan menangkis. Pesilat juga didedahkan kepada kawasan-kawasan berbahaya pada tubuh.
Kesemua
gerakan yang dipelajari adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran
membuat serangan balas. Walaupun pesilat dimahirkan dengan teknik
menyerang menggunakan tangan dan kaki, tetapi ia hanyalah untuk
membiasakan pelatih untuk bertindak balas ke
atas serangan yang berasaskan teknik tersebut. Serangan yang dibuat
tanpa menggunakan teknik yang betul amat mudah dipatahkan. Sebaliknya,
serangan yang terkawal dari segi sasaran, imbangan badan, dan penumpuan
tenaga akan memberikan kesan yang kelas dan tepat.
Kemahiran yang perlu diperolehi oleh pesilat dalam latihan silatnya ialah :
1. Gerakan membuka tapak dan serangan kaki dan tangan
2. Gerakan serang balas jenis tangkapan-buah tapak kunci mati
3. Gerakan serang balas ke atas kuncian-buah tapak kunci hidup
4. Gerakan serang balas jenis pukulan-serangan harimau
5. Gerakan jatuh pulih-senaman anak harimau
6. Gerakan serangan bersenjata dan serang balas ke atas serangan bersenjata.
Latihan Seni Silat Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang dan pesilat dikehendaki
membaca ayat-ayat suci al-Qur’an sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang.
Silat Cekak
Silat
yang popular seterusnya ialah silat cekak. Silat cekak berasal dari
Kedah. Seni silat ini juga pernah diamalkan oleh panglima-panglima
kerajaan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Terdapat
beberapa definisi silat cekak. Cekak bermaksud ringkas. Keringkasan
silat cekak ini dapat dilihat melalui sistem pelajaran yang sangat mudah
dan cepat diperoleh.
Senjata
yang digunakan dalam silat cekak ialah parang lading. Senjata ini
digunakan sejak zaman dahulu lagi. Parang lading merupakan satu-satunya
senjata yang digunakan dalam silat cekak. Dalam silat ini juga, tiada
penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa-apa sahaja. Parang
lading tidak digunakan untuk menyerang tetapi untuk menunggu serangan
dari segala jenis bentuk serangan kecuali senjata api.
Antara pantang larang yang terdapat dalam silat cekak ialah:
1. Tidak boleh derhaka kepada guru
2. Tidak boleh derhaka kepada ibu
3. Tidak boleh derhaka kepada bapa
4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli
5. Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli
Silat Tongkat
Silat
yang seterusnya ialah silat tongkat. Silat tongkat berasal dari India
dan telah dibawa masuk ke Kelantan oleh seorang rakyat India yang datang
sebagai peniaga air teh kandar. Seni tari silat tongkat diberi nama
kerana silat ini telah memasukkan dua elemen tarian dan elemen silat.
Kedua-dua elelen ini telah digabungkan menjadi satu. Salah satu fungsi
seni silat ini ialah untuk meninggalkan kesan kesenian yang indah kepada
masyarakat.
Dari
segi pengajarannya, seni silat ini terdiri daripada tiga peringkat
pembelajaran iaitu peringkat Bunga Silat, Pecahan dan Buah Silat.
Peringkat pertama iaitu peringkat bunga silat mempunyai tujuh jenis
bunga silat. Bunga silat juga merupakan elemen yang akan digunakan
semasa sesuatu persembahan diadakan contohnya seperti majlis perkahwinan.
Peringkat
kedua ialah peringkat pecahan. Peringkat ini memepunyai 110 jenis
pecahan yang diajarkan selepas pesilat melepasi peringkat pertama. Pada
peringkat ini, pesilat akan diajar tentang cara-cara untuk
mempertahankan dan melepaskan diri daripada pihak lawan.
Peringkat
yang terakhir ialah peringkat buah silat. Dalam seni tari silat
tongkat, terdapat lebih 50 jenis buah silat akan diajar kepada pelajar.
Buah silat ini penting kerana ia tidak boleh dipertontonkan kepada orang
ramai. Buah silat ini disorokkan daripada pandangan ramai atas dasar
memelihara seni permainan. Buah silat ini juga diajar oleh guru pada
malam terakhir sebelum Majlis Perlimau.
MAJLIS PERLIMAU
Majlis
Perlimau merupakan satu majlis penutup atau penamat bagi sesuatu
pembelajaran seni silat. Dalam majlis ini, sambutan daripada pelbagai
pihak dapat dilihat. Sebelum Majlis Perlimau diadakan, pelajar perlu
melepasi kesemua peringkat yang perlu dipelajari. Keunikan majlis ini
dapat dilihat apabila pesilat diberi tanggungjawab untuk menghias
gelanggang silat. Contohnya membina pintu gerbang yang diperbuat
daripada daun kelapa, membersihkan sekitar khemah dan menghias meja
pulut semangat.
Pada
pagi majlis, pesilat diwajibkan membawa seekor ayam kampung jantan yang
disembeleh di dalam gelanggang. Selepas selesai persembahan, para
pesilat akan mandi bunga iaitu tujuh jenis bunga sebagai tanda untuk
menyelamatkan ilmu yang dipelajari daripada sebarang musibah. Akhir
sekali, acara sembah guru pula akan diadakan, iaitu di rumah guru pada
waktu malam. Dalam acara ini, pesilat hendaklah membaca surah al-Fatihah
dan al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Mereka akan memohon maaf dan meminta
izin ilmu.